Lelaki maut dipukul akibat hutang

0
2
grafik

SEORANG lelaki berusia 46 tahun maut dipukul dipercayai kerana isu hutang di sebuah kediaman di Tan Yok Fong, Kulai, Johor, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow, berkata pihaknya menerima panggilan dari seorang wanita yang memaklumkan seorang lelaki cuba memasuki rumahnya pada jam 8.30 pagi.

Justeru, katanya, sepasukan polis ke lokasi kejadian dan mendapati lelaki itu yang berusia 46 tahun parah dipercayai dipukul.

“Dalam kejadian tersebut, penghuni rumah iaitu seorang wanita berusia 31 tahun yang sedang tidur menyedari kediamannya cuba dimasuki seorang lelaki sebelum wanita berkenaan menghubungi rakannya.

“Suspek yang menyedari rakan mangsa tiba ke kediaman tersebut cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

“Pergelutan tersebut menarik perhatian orang awam. Setibanya polis di lokasi, lelaki berkenaan didapati telah dipukul orang awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beng Yeow, berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah maut ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada jam 9.45 malam tadi.

“Sehubungan itu, polis yang menjalankan siasatan lanjut terhadap wanita itu dan mendapati lelaki terbabit dipukul kerana isu hutang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis menahan wanita terbabit dan tiga lelaki termasuk warga Indonesia berusia 31 hingga 54 tahun.

“Polis sedang mengesan lagi seorang lelaki berhubung kejadian itu. Beberapa barangan turut dirampas bagi membantu siasatan kes itu.

“Kesemua suspek direman enam hari bermula hari ini hingga 22 Ogos ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau turut menasihati orang awam agar tidak bertindak di luar batasan undang-undang dan menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan undang-undang. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here