Hannah Yeoh sindir Rina, Zailah diam isu Veveonah

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

AHLI Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menyindir Menteri dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang berdiam diri mengenai isu pelajar Sabah, Veveonah Mosibin.

Beliau mendakwa sehingga kini, kejadian yang didakwa sebagai buli siber itu tidak diberi perhatian oleh Datuk Seri Rina Mohd Harun dan timbalannya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

“Kalaulah anda tidak sedar – ini adalah buli siber yang dibuat oleh dua Timbalan Menteri terhadap seorang remaja.

“Malang sekali, kita tidak mendengar apa-apa respon daripada Menteri Wanita ataupun Timbalannya,” kata Yeoh menerusi akaun Facebook miliknya.

Yeoh, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut memuatnaik tangkap layar keratan berita bertajuk ‘Isu Vevonah, saya dapat maklumat daripada pegawai di lapangan’.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menuduh Veveonah menipu sebelum memohon maaf kepada pelajar berkenaan.

Zahidi kemudian memaklumkan laporan pelajar itu tidak menduduki peperiksaan di atas pokok diperoleh daripada Ahli Parlimen Kudat sendiri iaitu Datuk Abdul Rahim Bakri.

Abdul Rahim yang juga Timbalan Menteri Kewangan pula mendakwa menerima maklumat itu daripada pensyarah Veveonah di Universiti Malaysia Sabah (UMS). – Malaysiapost