Kalah 0-7, Aidil ganti Durakovic?

0
2

KEKALAHAN memalukan 0-7 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super Jumaat lalu, menyebabkan kedudukan Mehmet Durakovic sebagai jurulatih The Bos Gaurus kini goyah.

Timbul spekulasi kedudukan pengendali berasal dari Australia itu akan berakhir musim ini dan kekosongan tersebut akan diambil alih ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak.

Beberapa media melaporkan sumber memaklumkan ada perbincangan awal antara wakil pengendali dari Singapura itu bersama Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

“Masih terlalu awal, namun minat yang ditunjukkan Perak untuk mendapatkan khidmat Aidil tampak tinggi dan diharap semuanya berjalan baik,” kata sumber itu.

Pencapaian Durakovic membimbing Perak sejak 2017 dilihat tidaklah terlalu mengecewakan selepas berjaya menjulang Piala Malaysia 2018 selain muncul naib juara Liga Super 2018 bersama skuad itu.

Aidil juga memiliki kredibiliti yang baik selaku jurulatih yang dianggap muda selepas berjaya menghadiahkan Piala FA pada musim pertamanya di Liga M bersama Kedah tahun lalu. – Malaysiapost