UMNO bersedia untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong jika Seri Paduka Baginda memanggil untuk mendapat pandangan ketua-ketua parti, susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya sedang menunggu segala kemungkinan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah.
“Kita tunggu kalau Yang di-Pertuan Agong panggil ketua-ketua parti, kita akan pergi,” katanya kepada media selepas mesyuarat Biro Politik Umno di bangunan Umno di ibu negara sebentar tadi.
Ditanya apa yang dibincangkan dalam mesyuarat itu, Mohamed Khalid berkata ia meliputi pelbagai perkara.
Terdahulu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitah maklum menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri serta-merta berkuat kuasa hari ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan baginda turut memperkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai ‘caretaker’ Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik. – Malaysiapost

