‘Saya telah melakukan pelbagai ikhtiar, namun ada pihak rakus kuasa’

0
2

TAN Sri Muhyiddin Yassin mengakui telah melakukan pelbagai ikhtiar hingga saat akhir untuk menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), setidaknya sehingga selesai menguruskan pandemik, program vaksinasi dan pemulihan ekonomi.

Namun katanya, ikhtiar itu tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat.

Justeru Perdana Menteri kelapan itu berkata apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah swt yang merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politiknya.

“Enam tahun yang lalu, saya dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana saya mempertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1MDB.

“Saya berjuang, berkorban, akhirnya Allah swt. mengangkat martabat perjuangan saya sehingga saya diberikan amanah untuk memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri.

“Namun, telah ditakdirkan hari ini hari terakhir saya sebagai Perdana Menteri dan saya redha dengan ketentuan Ilahi,” katanya dalam ucapan khas hari ini.

Muhyiddin berkata beliau telah menghadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 12.30 tengah hari tadi di Istana Negara dan menyerahkan warkah peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, ia disebabkan beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Walaupun saya pada awalnya mencadangkan supaya keabsahan sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen, namun 15 Ahli Parlimen Umno telah menarik sokongan kepada saya dan cadangan kerjasama rentas parti yang saya kemukakan ditolak oleh parti-parti pembangkang.

“Jelaslah saya telah kehilangan sokongan majoriti. Jadi tidak perlulah lagi keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen.

“Maka hari ini saya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh ahli Jemaah Menteri sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau juga memaklumkan tidak dapat menyambut rayuan ikhlas jutaan rakyat Malaysia agar meneruskan tugas dan tidak meletakkan jawatan kerana telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here