YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitah maklum menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri serta-merta berkuat kuasa hari ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan dikeluarkan sebentar tadi, memaklumkan baginda turut memperkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai ‘caretaker’ Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Titah baginda, katanya, ia selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional bermula 1 Mac 2020, khususnya dalam memerangi pandemik Covid-19.
Selaku ketua utama negara, Baginda memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara dan juga menghormati apa-apa keputusan yang dibuat Muhyiddin berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.
Dalam pada itu, beliau berkata, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima sembah maklum Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh bahawa sehingga 10 Ogos lalu daripada sejumlah 613 kawasan Dewan Undangan Negeri, sebanyak 484 kawasan (79 peratus) adalah zon merah Covid-19.
Pada masa yang sama, Seri Paduka Baginda turut mengambil maklum bahawa fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.
“Justeru, pada hemat Seri Paduka Baginda, pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik yang berlarutan tanpa kesudahan yang telah mengganggu kelancaran tadbir urus negara ini dapat diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam oleh pandemik Covid-19.
“Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.
Terdahulu, selain Pengerusi SPR, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Istana Negara

