KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan Lahad Datu di Sabah sebagai kawasan zon merah Covid-19.
Ia selepas daerah itu mencatat 43 kes baru semalam.
“Semua kes baru itu dikesan dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu melibatkan 21 warganegara dan 22 bukan warganegara,” kata KKM menerusi ciapan Twitter pagi ini.
Kes Covid-19 menyaksikan lonjakan semalam dengan 62 kes baharu, dengan sebahagian besar kes adalah di Sabah.
Situasi terbaharu itu menimbulkan kebimbangan memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bakal berlangsung.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini untuk penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 22 September dan hari mengundi biasa pada 26 September ini. – Malaysiapost

