“Saya maafkan fitnah dan dakyah anda semua” – Zahid

0
2
zahid hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan segala tomahan dan tuduhan dihadapinya susulan menentang kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kini sudah terjawab siapa di pihak yang benar.

Menurutnya, tuduhan demi tuduhan dilemparkan terhadapnya oleh pihak berkenaan akhirnya membongkar pembohongan yang sebenar.

“Mengata dulang paku serpih mengata orang dia yang lebih. Melempar tuduhan demi tuduhan ke atas Presiden Umno.

“Akhirnya mereka melakukan apa yang dituduh. Begitulah ‘karma’ sebuah pembohongan dan penipuan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata sebagai contoh tuduhan sebelum ini yang mengatakan beliau akan mewujudkan jajaran politik baharu, namun mereka yang membuat tuduhan itu pula kini menawarkan jajaran baharu bersama DAP.

Menurutnya, mereka mula ‘menghalalkan’ apa yang mereka haramkan sebelum ini.

“Hilang terus dalil ummah dan musuh agama yang hari-hari diratib untuk menyerang Presiden Umno.

“Beberapa mereka mendakwa konon tidak dimaklumkan jajaran baharu, tetapi ok demi tamadun. Ada mendakwa konon tak mahu jajaran baharu bersama DAP, tetapi terpaksa disebabkan pandemik,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pelbagai alasan diberikan untuk tindakan itu, namun sudah tidak boleh diselindungi kerana ia sudah terbongkar dan rakyat sudah mengetahuinya.

“Rakyat tidak lagi mudah diperbodohkan. Penipuan, pembohongan dan hipokrasi tahap tertinggi. Mereka mendulang air terpercik muka sendiri. Presiden Umno begini jua terus berpegang pada prinsip parti.

“Mungkin berkat kesabaran dan yakin kebesaran Tuhan berdepan panah-panah fitnah. Simpati juga pada JKOM selepas bersungguh-sungguh melancarkan propaganda terhadap Presiden Umno.

“Saya maafkan fitnah dan dakyah anda semua. Semoga kebenaran semalam menatijahkan sebuah keinsafan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here