‘Insya-Allah akan ada pengumuman, tunggulah esok’

1
1

BERSATU akan membuat satu pengumuman esok, dipercayai berkaitan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri serta kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Berikutan itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof meminta semua pihak agar bersabar dan menunggu sehingga hari esok.

“Insya-Allah akan ada pengumuman, tapi apa pun kita tunggulah esok,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Pejabat PN di Publika di ibu negara hari ini.

Mesyuarat yang bermula kira-kira jam 9.30 pagi tadi itu dipengerusikan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu.

Ia berlangsung ketika spekulasi Muhyiddin bakal menghadap Yang di-Pertuan Agong esok, sebelum dijangka membuat pengumuman penting mengenai kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri.

Mohd Redzuan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) memaklumkan mesyuarat hari ini turut membincangkan tindakan yang akan diambil jika Muhyiddin meletak jawatan.

“Kita berbincang ke mana arah tuju, apakah bentuk yang akan terjadi sekiranya Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan.

“Perdana Menteri telah mencari segala bentuk pilihan untuk kepentingan rakyat dalam keadaan krisis hari ini, namun ada golongan yang tidak bertanggungjawab mahu melihat kepentingan rakyat digadaikan.

“Sepatutnya mereka mengekalkan segala usaha yang dibawa oleh Perdana Menteri dan kerajaan,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan akur kepada Perlembagaan sekiranya ada pihak yang menarik sokongan atas kepentingan peribadi tanpa mengira kepentingan rakyat.

Katanya, terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memastikan negara terus diterajui oleh pimpin yang prihatin. – Malaysiapost

1 COMMENT

  1. JANGANLAH JUAL NAMA RAKYAT DAN MENYALAHKAN ORANG LAIN AKIBAT DARIPADA KEGAGALAN SENDIRI DATO’ . RAKYAT DAH BAGI MASA BERBULAN-BULAN KEPADA KERAJAAN PN DAN DUIT TELAH HABIS HAMPIR RM700B [RM600B + RM160B PINJAMAN DAN JUALAN ASET]. APABILA NYAWA DIHUJUNG TANDUK, BARULAH NAK BUAT PEMBAHARUAN DAN MULALAH KATA AKAN MENERIMA CADANGAN DAN PANDANGAN ORANG LAIN DAN RAKYAT. SEBELUM INI, RAKYAT DILUPAKAN DAN MENTERI HIDUP SECARA MEWAH. KABINET PN KENA MUHASABAH DIRI DAB FIKIR “siapa sebenarnya yang telah menganiaya rakyat bdan negara”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here