
CUMA mesyuarat pengurusan parti, kata Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Timbalan Presiden Bersatu itu mendakwa kehadirannya di kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur hanyalah untuk mempengerusikan mesyuarat parti.
Beliau juga menafikan tiada mesyuarat tergempar jemaah Kabinet di kediaman Perdana Menteri, hari ini.
“Saya mempengerusikan mesyuarat itu tadi,” katanya kepada petugas media yang menunggu di luar kediaman Muhyiddin, petang tadi.
Penasihat Khas kepada Perdana Menteri bertaraf menteri itu ditemui ketika beredar dari kawasan kediaman Muhyiddin dengan kenderaannya, kira-kira jam 5.45 petang.
Beliau berkata, mesyuarat berkenaan berlangsung selama kira-kira sejam dan turut dihadiri barisan kepemimpinan parti Bersatu yang lain.
Terdahulu, kelihatan beberapa kenderaan membawa pemimpin Bersatu antaranya Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun dan Ketua Armada, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Turut kelihatan hadir, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz.
Kenderaan membawa mereka juga sudah dilihat beredar daripada kawasan kediaman Muhyiddin. – Malaysiapost
