TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan pendiriannya menyokong dan kekal bersama Perikatan Nasional (PN) dalam pertemuan bersama pimpinan Umno Johor, petang semalam.
Seorang pemimpin kanan Umno Johor berkata, Ismail Sabri menjelaskan Ahli Parlimen Umno yang berada dalam Kabinet mempunyai tanggungjawab sangat besar dalam menguruskan wabak Covid-19, selain mahu membantu rakyat kembali kepada kehidupan sebelum ini, lapor Berita Harian.
Katanya, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno memberi penjelasan mengenai pendiriannya bersama 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang menarik sokongan terhadap PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Timbalan Perdana Menteri memaklumkan, sekarang bukan waktunya untuk meletak jawatan atau pun saling berbalah serta merebut jawatan kerana masalah negara dan membantu rakyat menjadi agenda utama yang harus ditumpukan semua pihak,” katanya.
Beliau berkata, pertemuan yang berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Johor itu bukan dirancang, sebaliknya diadakan secara mengejut.
Semalam, media melaporkan kenderaan membawa Ismail Sabri dilihat meninggalkan kediaman rasmi Menteri Besar Johor, pada jam 3.55 petang selepas kira-kira satu jam setengah mengadakan pertemuan tertutup di situ.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Setiausaha Umno Johor, Datuk Samsolbari Jamali.
Terdahulu, Ismail Sabri menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Pasir Pelangi, kira-kira jam 10.45 pagi. – Malaysiapost

