PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menjelaskan laporan media mengenai 30 kerusi bakal ditandingi BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini hanya khabar angin.
Beliau berkata, laporan itu hanya persepsi pihak tertentu memandangkan belum ada keputusan muktamad berhubung agihan kerusi dalam kalangan Perikatan Nasional (PN) setakat ini.
“Apa yang berlaku itu hanya orang punya persepsi sebab kita belum buat keputusan muktamad.
“Kita juga kena pastikan rakan kita juga mendapat lebih kurang sebab maklumlah parti banyak,” katanya di Kota Kinabalu, hari ini.
Pengerusi Umno Sabah itu berkata, agihan kerusi secara adil perlu dibuat antara semua parti yang bekerjasama iaitu Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), MCA, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP).
Pengumuman calon katanya dijadualkan pada Rabu ini selepas semua rundingan dimuktamadkan.
Laporan media sebelum ini menyebut BN mendapat 30 kerusi, diikuti Bersatu sebanyak 20 kerusi, manakala Presiden Star, Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengesahkan partinya bertanding di 15 kerusi.
Ini bermakna, sebanyak 65 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah mempunyai pemilik, manakala baki lapan lagi kerusi dibahagikan di antara PBS dan SAPP.
Sebelum ini, Naib Presiden PBS, Datuk Johnny Mositun turut menganggap laporan itu sebagai spekulasi semata-mata kerana tidak mungkin PBS hanya mendapat lapan kerusi dan terpaksa berbahagi pula dengan SAPP.
Katanya, layak mendapat sekurang-kurangnya 20 kerusi daripada 30 yang diminta parti itu untuk ditandingi pada PRN kali ini. – Malaysiapost

