Covid-19: Kluster Sungai pula dikesan di Kedah

0
3

Fitri Nizam

SATU kluster baharu dikenali Kluster Sungai dikesan di Kedah membabitkan dua kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster itu dikesan di sebuah pusat perubatan di negeri terbabit.

Katanya, kes indeks iaitu kes ke-9,455 daripada kluster berkenaan merupakan seorang anggota kesihatan di pusat perubatan tersebut.

“Beliau bergejala sejak 30 Ogos 2020 tetapi tidak mendapatkan rawatan. Ujian saringan Covid-19 dijalankan pada 5 September 2020 dan didapati positif.

“Kes kedua kluster ini (Kes ke-9,456) merupakan anggota kesihatan di pusat perubatan di Kedah.

“Beliau merupakan kontak rapat kepada kes indeks yang bergejala sejak 5 September dan mendapatkan rawatan di pusat perubatan sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes kedua kluster itu menjalani ujian saringan Covid-19 pada 5 September lalu dan didapati positif.

“Kedua-dua kes dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Justeru, pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan melibatkan 57 orang.

“Dua daripada jumlah itu dikesan positif dan 55 yang lain masih menunggu keputusan saringan,” katanya lagi. – MalaysiaPost