BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengulangi desakan menggesa kerajaan segera memperbetulkan langkah yang menambah risiko terhadap negara dan rakyat dalam usaha menyekat penularan Covid-19.
Beliau berkata, kerajaan dinasihatkan supaya tidak meneruskan ‘kegilaan dan kesilapan’ lalu, dengan mengimplikasikan kelonggaran yang tidak munasabah di dalam tempoh kes Covid-19 yang semakin kritikal.
Katanya, dalam tempoh kritikal ini kerajaan seharusnya mengurangkan risiko kepada negara dan bukan menambah risiko tanpa sebarang manfaat yang nyata.
“Sistem kesihatan kita sudah hampir lumpuh. Hampir suku juta penduduk Malaysia sedang positif Covid (kes aktif).
“Kes baharu dan kematian baharu kita tiap-tiap hari pecah rekod dan antara paling tinggi dalam dunia. Jumlah yang divaksin belum capai sasaran,” katanya dalam hantaran Facebook.
Justeru, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kerajaan digesa tidak memberi kelonggaran kepada pelawat asing dan pemegang pas Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) untuk jalani kuarantin kendiri.
“Ini kerana varian lambda dan Delta plus yang lebih kebal virus sedang menular di lebih 30 negara dalam dunia. Jangan naikkan risiko untuk varian-varian baharu ini masuk ke negara sebab varian Delta pun kita belum lepas.
“Apa manfaat bagi rakyat biasa yang dah lama disekat keluar negara sedangkan golongan yang diberi kelonggaran ini mampu membayar kos kuarantin di pusat kerajaan atau hotel?,” soalnya.
Dalam pada itu, Najib mempersoalkan tindakan kerajaan menetapkan hanya pelanggan yang mahu “dine-in” dalam restoran perlu divaksin penuh, tetapi pekerja restoran pula tidak perlu.
“Adakah yang dine-in sahaja perlu dilindung tetapi pekerja restoran kebal virus pula?
“Apa susahnya untuk menetapkan bahawa hanya mereka yang divaksin penuh dibenarkan bekerja dalam restoran yang membenarkan dine-in?,” katanya.
Pada 8 Ogos lalu, Perdana Menteri mengumumkan individu yang sudah lengkap vaksinasi dibenarkan untuk ‘dine-in’ atau makan direstoran bermula 10 Ogos lalu.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kebenaran ini hanya untuk mereka yang menetap di negeri yang sudah berada dibawah fasa dua dan seterusnya Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Dalam pada itu, kerajaan memaklumkan pengembara warganegara dan rakyat asing pulang atau tiba dari luar negara serta sudah mendapat vaksin lengkap dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah.
Katanya, mereka kemudian akan diberikan perintah pengawasan di rumah (HSO) digital oleh Kementerian Kesihatan (KKM). – Malaysiapost

