Kerajaan Kedah nafi anugerah projek RM1.3 bilion

0
1
Muhammad Sanusi Md Nor

KERAJAAN Kedah tidak pernah menganugerahkan sebarang projek kerajaan bernilai RM1.3 bilion kepada mana-mana pihak, kata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Jelas beliau, Projek Litar lumba yang dicadangkan akan dibangunkan oleh Open Road Asia Sdn Bhd di Langkawi adalah projek pelaburan syarikat swasta, bekerjasama dengan Permodalan Kedah Berhad (PKB) sebagai pemilik tanah.

“Kerajaan Negeri juga tidak memiliki wang sebanyak itu untuk melaksanakan projek pembangunan, apatah lagi projek berkaitan litar perlumbaan kereta.

“Rundingan dan kerjasama projek ini adalah antara syarikat dengan syarikat iaitu Open Road Asia Sdn Bhd dengan Pemodalan Kedah Berhad (PKB), bukan antara individu dengan individu,” katanya menerusi Facebook.

Muhammad Sanusi mengulas tindakan Ahli PKR Sungai Siput S Indrani yang membuat laporan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mendakwa Menteri Besar itu menyalahgunakan kuasa dalam pemberian sebuah projek berkaitan sektor pelancongan negeri.

Indrani mendakwa mempunyai bukti projek berkenaan dianugerahkan kepada sebuah syarikat dengan pengasas yang juga antara pengarahnya telah muflis.

Muhammad Sanusi berkata, dakwaan Indrani bahawa terdapat individu tertentu yang didapati muflis terbabit dalam syarikat swasta tersebut adalah urusan syarikat itu yang tiada kaitan dengan kerajaan negeri Kedah.

“Kerajaan negeri berpandangan ahli PKR itu yang membuat tuduhan “salah guna kuasa dalam penganugerahan projek kerajaan negeri kepada syarikat itu” adalah tidak cermat dan hanyalah satu propaganda politik,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka untuk mengkaji, menerima dan bekerjasama dalam sesuatu cadangan pelaburan di Kedah.

Katanya, sekiranya terdapat pihak swasta memiliki keupayaan kewangan, pengalaman dan kesungguhan untuk melabur dalam sebarang projek yang akan menyumbang kepada pembangunan sektor ekonomi di Kedah.

“Kerajaan Negeri Kedah juga sentiasa telus dan mengamalkan tahap integriti tertinggi dalam melaksanakan sebarang projek pembangunan di negeri ini.

“Kami sedar bahawa pencapaian Negeri Kedah dalam sektor pelaburan yang sangat memberansangkan dalam setahun ini mengundang rasa cemburu banyak pihak yang hanya ingin melihat kami jatuh dan gagal.

“Pencapaian dan kepercayaan para pelabur untuk melabur di Kedah adalah bukti kesungguhan dan ketelusan kami bekerja untuk rakyat negeri ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here