Covid-19: Abang Allahyarham Siti Sarah ‘tidak berapa baik’

0
2
shuib sepahtu

KEADAAN abang Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Ahmad Firdous yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sedang semalam untuk ditidurkan akibat Covid-19, dilaporkan tidak ‘berapa baik’.

Shuib Sepahtu berkata, dia dimaklumkan mengenai perkembangan terbaru Ahmad Firdous daripada kakak iparnya, kira-kira jam 11 pagi semalam.

“Semalam, saya ada maklumkan di Instagram mengenai keadaan abang ipar yang dimasukkan ke ICU dan ditidurkan pada jam 5 pagi.

“Pada jam 11 pagi, kakak ipar hubungi dan beritahu keadaan Ahmad Firdous tidak berapa baik.

“Doktor menjelaskan situasi dialami abang ipar hampir sama dengan arwah Siti Sarah, paru-paru abang ipar tidak baik,” katanya selepas selesai majlis tahlil dan bacaan Yassin untuk Allahyarham Siti Sarah yang dikendalikan secara virtual, malam semalam.

Sehubungan itu, Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhamad, berdoa semoga Allah mempermudahkan urusan Ahmad Firdous dan diberi kesembuhan dari wabak itu.

“Semoga Allah memberi kemudahan kepada abang ipar. Dia baik orangnya dan sangat rapat dengan arwah isteri.

“Semoga dengan bacaan Yassin dan doa pada malam ini (tadi), abang ipar terus diberi kekuatan untuk bangun dan berjuang. Insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Shuib turut memaklumkan, dua kakitangannya turut disahkan positif Covid-19.

Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia akibat Covid-19 selepas 48 jam ditidurkan di ICU, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur.

Pelantun lagu ‘Kesetiaan’ itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak.

Allahyarham Siti Sarah meninggalkan suami dan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang dilahirkan, Jumaat lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here