LTTE: Saya hanya bagi pendapat bukan arahan – Tun M

0
3
mahathir

Fitri Nizam

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan tindakannya menulis surat berkaitan kumpulan Pembebasan Tamil Tiger Eelam (LTTE) hanyalah untuk memberi pendapat.

Dr Mahathir berkata, pendedahan surat bertarikh 12 Februari ketika masih bergelar Perdana Menteri, memperlihatkannya seolah-olah beliau menyokong gerakan berkenaan.

“Saya mencadang supaya Tamil Tigers tidak lagi dilabel sebagai terrorists (pengganas) kerana kerajaan Sri Lanka sendiri tidak lagi melabel kumpulan dan pengikutnya sebagai terrorists.

“Jika label terrorists diguna terhadap Tamil Tigers, maka mereka tidak boleh ikat jamin sementara menunggu perbicaraan,” katanya dipetik menerusi laman blog Chedet.

Pengerusi Interim Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, langkah itu konsisten dengan pendirian kerajaan di bawah pentadbirannya sebelum pilihan raya 2018.

“Kita menentang penggunaan beberapa peruntukan undang-undang yang telah disalahguna oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menahan orang menentang pencurian yang mereka lakukan menerusi 1MDB dan juga salah guna kuasa.

“Mereka yang menentang ini telah ditahan tanpa dibicarakan dan tidak dibenar ikat jamin. Ini satu ‘travesty of justice’ ataupun satu ketidakadilan yang melampau,” katanya.

Justeru, beliau membuat cadangan itu kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya dimaklumkan oleh Peguam Negara bahawa tidak ada bukti kukuh untuk mendakwa mereka di bawah undang-undang pengganas yang tidak boleh diikat jamin semasa menunggu perbicaraan.

“Saya memberi pendapat saya kepada Menteri yang bertanggungjawab berkenaan perkara ini. Pendapat saya bukan suatu arahan,” katanya.

Berkenaan dengan kaitan Hamas, Dr Mahathir berkata, beliau menggunakan kumpulan itu sebagai contoh kerana masyarakat dunia melabel mereka sebagai kumpulan pengganas.

“Tetapi kita tidak pernah bersetuju dengan dakwaan ini. Semua tahu bagaimana kita telah beri bantuan kepada Hamas di Gaza.

“Kita juga telah terima lawatan pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh pada 22 Januari 2020. Saya sendiri telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin Hamas ini,” katanya.-Malaysiapost