Hanya tinggal 1,680 gajah liar di Malaysia

0
2
SANDAKAN, 16 Feb -- Sekumpulan gajah Borneo atau lebih dikenali sebagai gajah pygmy yang mencari makanan di tebing Sungai Kinabatangan berhampiran Kampung Bilit. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

JUMLAH gajah liar di Semenanjung Malaysia kini dianggarkan sebanyak 1,220 hingga 1,680 ekor sahaja dengan taburan populasinya di tujuh negeri iaitu Kedah, Perak, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata anggaran itu berdasarkan kajian pada 2011.

Menurutnya Perhilitan di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah membangunkan pelan tindakan sebagai panduan dalam mengukuhkan pemuliharan gajah.

“Gajah Asia (elephas maximus) merupakan spesis hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan disenaraikan sebagai hidupan liar yang tidak boleh diperdagangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perutusan sempena Hari Gajah Sedunia 2021, hari ini.

Abdul Kadir berkata, dua pusat pemuliharaan gajah yang baharu juga telah ditubuhkan iaitu Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka dan Santuari Gajah Johor bagi meningkatkan kawasan perlindungan khusus untuk gajah.

“Santuari Gajah Perak seluas 20,000 hektar di kawasan Hutan Simpan Amanjaya dan Taman Negeri Royal Belum juga akan dibangunkan sebagai strategi pengurusan konflik manusia dengan gajah di Perak.

“Pengukuhan program perlindungan dan pemuliharaan oleh Jabatan Perhilitan telah berjaya mengurangkan sebanyak 44 peratus kerugian akibat konflik manusia-gajah bagi tempoh 2015 hingga 2818,” katanya.

Beliau berkata, konservasi gajah bukanlah menjadi tugas utama Jabatan Perhilitan semata-mata, tetapi menjadi tanggungjawab semua rakyat Malaysia.

“Saya menyeru semua pihak berganding bahu memperhebatkan usaha dalam konservasi gajah demi kesejahteraan hidup generasi kini dan akan datang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here