Covid-19: Lebih 300 lagi kematian hari ini

0
1
Skuad Pengurusan Jenazah covid-19 Malaysia menguruskan jenazah covid-19 setelah dimasukkan ke dalam kubur di Tanah Perkuburan Batu 5 Jalan Ipoh.

NEGARA mencatatkan kematian harian akibat Covid-19 melebihi 300 kes lagi hari ini iaitu sebanyak 318 kematian, menjadikan 11,691 kes kumulatif atau 0.87 peratus kematian daripada jumlah keseluruhan 1,342,215 kes Covid-19 yang dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu 256 adalah warganegara dan 62 bukan warganegara.

Menurutnya, daripada 318 kes kematian yang dilaporkan hari ini, 93 daripadanya adalah kematian luar hospital (BID) iaitu membabitkan 57 warganegara dan 36 bukan warganegara.

“Kes kematian hari ini adalah melibatkan 118 kes di Selangor, 52 kes di Johor, 45 kes di Kuala Lumpur, 28 kes di Sabah dan 19 kes di Kedah.

“Masing-masing 10 kes di Pulau Pinang dan Melaka, sembilan kes di Perak, lapan kes di Pahang, tujuh di Negeri Sembilan, serta masing-masing empat di Sarawak, Kelantan, dan Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata jumlah kes sembuh adalah 17,687 kes (1,093,503 kes kumulatif) berbanding 21,668 kes baharu (1,342,215 kes kumulatif) dengan 237,021 kes masih aktif.

“Daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini, 58 kes adalah kes import membabitkan 20 warganegara dan 38 bukan warganegara.

“Kes tempatan pula adalah 21,610 kes iaitu 18,332 warganegara dan 3,278 bukan warganegara,” katanya.

Menurutnya, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 1,059 kes dengan kes memerlukan bantuan pernafasan sebanyak 543 kes.

“Jumlah kluster direkodkan setakat ini adalah 4,079 termasuk 45 kluster baharu, manakala jumlah kluster yang telah tamat adalah 2,798 dan 1,281 kluster masih aktif,” katanya.

Malaysia mencatatkan kematian harian tertinggi sejak penularan Covid-19 di negara ini dengan 360 kes pada 8 Ogos lalu dan hari ini merekodkan jumlah kes harian baharu tertinggi iaitu 21,668 kes. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here