SEBANYAK 14 lokaliti di empat negeri iaitu Sabah, Kelantan, Pahang dan Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Sabtu ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata lokaliti berkenaan membabitkan lima di Sabah, manakala enam lagi di Kelantan, dua di Pahang dan satu lokaliti di Sarawak.
Beliau berkata, di Sabah membabitkan dua lokaliti di Keningau iaitu kilang dan kuarters pekerja Bumi Timber Sdn Bhd, Batu 27, serta perusahaan dan kuarters pekerja Kosinar Sdn Bhd, Batu 28, di Jalan Sook.
“Masing-masing satu lokaliti di Taman Puri Warisan, Kota Kinabalu; Kampung Pengiran, Sipitang; dan Kampung Wokok Kinuta, Kota Belud,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, di Kelantan pula lokaliti yang terbabit adalah lima kampung di Pasir Mas, iaitu Kampung Chenerai; Kampung Lubok Kawah; Kampung Pohon Tanjong; Kampung Pak Jak Mukim Kubang Gadong; dan sebahagian Kampung Landar.
Beliau berkata satu lagi lokaliti di Kelantan yang dikenakan PKPD adalah Kampung Kubang Sawa, Tumpat.
“Lokaliti lain dilaksanakan PKPD adalah Kampung Bongkok, Daerah Bera dan Kampung Gadak, Daerah Rompin, Pahang, manakala di Sarawak adalah kuarters pekerja Sri Datai Mining Sdn. Bhd, Mukah,” katanya.
Hishammuddin berkata, kesemua lokaliti itu dikenakan PKPD bermula 14 hingga 27 Ogos ini dan keputusan itu dibuat selepas kerajaan meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19 di kawasan berkenaan. – Malaysiapost

