TAN Sri Muhyiddin Yassin petang tadi bertemu selama sejam dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang di kediaman Presiden PAS itu di Rusila dekat Marang.
Perdana Menteri tiba pada jam 5 petang diiringi Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, lapor Utusan Malaysia.
Muhyiddin disambut anak Abdul Hadi, Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk.
Perdana Menteri meninggalkan kediaman Abdul Hadi pada jam 6.10 petang.
Sementara itu ketika ditemui di Kuala Terengganu, Perdana Menteri berkata kunjungan itu hanya pertemuan biasa kerana mereka sudah lama tidak berjumpa.
“Saya nak ziarah kerana beliau tidak berapa sihat tetapi Menteri Besar memberitahu Tuan Guru sudah bertambah baik.
“Kali terakhir kita berjumpa semasa di hospital dan mudah-mudahan beliau kembali sihat bagi bekerja untuk parti dan negara,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Taman Tamadun Islam (TTI). – Malaysiapost

