Maria Chin tetap bersama PKR, PH

0
2

AHLI Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah menafikan beliau kini menyokong Perikatan Nasional (PN) seperti tular di media sosial yang didakwa disiarkan di sebuah portal berita.

Menurutnya, penyebaran berita palsu itu adalah politik kotor dan terhina dilakukan sesetengah pihak kerana beliau masih tetap bersama PKR dan Pakatan Harapan (PH).

“Saya mengambil maklum terdapat sesetengah pihak cuba menyebarkan berita palsu mengenai saya, dalam bentuk ‘artikel’ yang didakwa disiarkan di laman web Agenda Daily.

“Hasil semakan fakta menunjukkan bahawa tidak wujud artikel seperti itu dalam Agenda Daily. Saya menolak semua ini dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan politik kotor seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan palsu yang mendakwa tiga Ahli Parlimen PKR bersetuju untuk menyokong PN dengan RM5 juta deposit sudah diberikan kepada mereka.

Maria Chin berkata, beliau berpegang kepada komitmen dalam perjuangan begitu juga dengan dua rakannya, Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa dan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang turut dikaitkan dengan isu berkenaan.

“Sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya, fokus utama saya adalah tanggungjawab kepada kesejahteraan dan kebajikan pengundi saya.

“Ratusan orang mati akibat Covid-19 setiap hari, namun masih ada pihak yang menangguk di air yang keruh, mewujudkan suasana politik yang kotor dan terhina untuk menimbulkan kekacauan dan ketidakpercayaan,” katanya.

Menurutnya, penyebaran berita terbabit adalah tuduhan tidak berasas dan walau berapa banyak berita palsu dihasilkan oleh ‘cybertrooper’, beliau akan berdiri teguh bersama PH untuk memastikan kebajikan dan kesihatan jutaan rakyat terjaga dan tidak dikompromi oleh kerajaan PN-BN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here