
Nurul Huda Abhar
SEJUMLAH 3,396 kes Covid-19 dilaporkan dalam kalangan ibu hamil di negara ini sejak bulan Mac 2020 hingga Jun lalu.
Manakala, sehingga 9 Ogos lalu sebanyak 70 kes kematian ibu hamil disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19 telah dilaporkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tiada kes kematian ibu hamil yang disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19 dilaporkan pada tahun 2020.
“Bagi tahun 2021, purata kes Covid-19 bagi bulan Januari 2021 sehingga bulan Mei 2021 adalah sebanyak dua kes pada setiap bulan.
“Bagaimanapun, berlaku peningkatan kes kematian dilaporkan sejak bulan Jun 2021 iaitu sebanyak 17 kes kematian.
“Data menunjukkan 15 kes langsung tidak menerima vaksin Covid-19. Berdasarkan maklumat sedia ada, sebanyak 47 peratus dari kes kematian yang dilaporkan juga mempunyai komorbid,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, peratus ibu hamil dijangkiti virus berkenaan yang menerima penjagaan rawatan rapi telah meningkat dari tiga peratus pada 10 Julai 2021 kepada 5.3 peratus pada 7 Ogos lalu.
Katanya, dianggarkan hampir satu peratus ibu hamil di Malaysia dijangkiti Covid-19.
Beliau berkata, jumlah kes yang dilaporkan semakin meningkat bermula Oktober lalu, dengan purata 200 kes jangkitan sebulan di mana lonjakan kes dapat dilihat pada Mei 2021 (sebanyak 850 kes) dan Jun 2021 (sebanyak 899 kes).
“Sehingga 8 Ogos 2021, seramai 146,759 ibu hamil telah mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksin Covid-19, sejak kempen ibunisasi dimulakan pada akhir Jun 2021.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 83,251 (57 peratus) ibu hamil telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Sebanyak 20 peratus ibu hamil telah lengkap menerima dua dos vaksin,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata berdasarkan anggaran kehamilan setahun, peratus ibu hamil yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin di aplikasi MySejahtera masih rendah iaitu sebanyak 40 peratus.
Jelasnya, memandangkan ibu hamil tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi, langkah-langkah pencegahan amat penting bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.
“KKM menyeru semua ibu hamil untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko komplikasi sekiranya dijangkiti Covid-19. Para suami mestilah memberi sokongan kepada pasangan bagi memastikan mereka mendapat suntikan vaksin Covid-19,” katanya.
Beliau menegaskan, pengambilan vaksin perlu dilengkapkan sebelum memasuki fasa akhir kehamilan iaitu trimester ketiga, oleh itu ibu hamil yang masih belum menerima janji temu vaksinasi boleh menghubungi klinik kesihatan terdekat bagi mempercepatkan proses janji temu. – Malaysiapost
