1,605 PPVGP bantu proses vaksinasi

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menghargai bantuan pihak pengamal perubatan swasta (GP) dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) termasuk dalam menyediakan Pusat Pemberian Vaksin Pengamal Perubatan Swasta (PPVGP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pembabitan pihak GP dalam PICK yang diselaraskan oleh ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) ternyata banyak membantu negara mencapai perlindungan kepada rakyat Malaysia dengan memvaksin seramai penduduk yang layak.

Menurutnya, setakat 8 Ogos lalu terdapat 1,605 PPVGP yang aktif di bawah PICK dengan jumlah kumulatif 762,419 dos vaksin Covid-19 telah diberikan.

“Saya berkesempatan pada pagi tadi untuk melawat dua PPVGP di Cyberjaya, Sepang yang masing-masing mampu memberikan sebanyak 90-150 dos vaksin seminggu.

“KKM mengalu-alukan penglibatan pihak GP di dalam PICK dalam membantu negara mencapai perlindungan kepada semua rakyat Malaysia dengan memvaksin seramai penduduk yang layak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, antara skop perkhidmatan yang diberikan melalui PPVGP termasuklah pra-penilaian penerima vaksin, kaunseling dan pengambilan persetujuan penerimaan vaksin, mengendalikan vaksinasi serta pemantauan selepas vaksinasi.

“Pendaftaran Pengamal Perubatan Swasta sebagai PPVGP masih berlangsung sepanjang pelaksanaan PICK,” katanya. – Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here