Semua parti dalam PN istiqamah sokong Muhyiddin – Saifuddin

0
2

SEMUA pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN) yang hadir dalam pertemuan dengan Perdana Menteri semalam, menyatakan sokongan padu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata demikian mengulas mengenai pertemuan pemimpin dan ketua parti PN bersama Perdana Menteri di Putrajaya semalam.

Saifuddin berkata, beliau tidak menghadiri mesyuarat tersebut kerana bukan seorang anggota majis pimpinan utama, namun dimaklumkan bahawa semua yang hadir menyatakan sokongan padu kepada Muhyiddin.

“Saya tidak menghadiri mesyuarat tersebut sebab saya bukan salah seorang anggota majis pimpinan utama, saya difahamkan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah adakan siri pertemuan dengan pimpinan, ketua parti PN.

“Setakat saya faham dan setakat saya dimaklumkan, kesemua parti-parti dalam PN terus istiqomah dari segi memberikan sokongan padu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri,” katanya seperti dilaporkan AstroAwani.

Semalam, Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin kanan PN yang lain yang bermula jam 5 petang semalam di Perdana Putra.

Antara pemimpin yang hadir dalam pertemuan selama dua jam itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, usul undi percaya terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan dalam Sidang Dewan Rakyat pada 7 September depan.

“Namun timbul isu keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, beliau telah memutuskan perkara ini sebagai undi percaya di Parlimen pada September.

“Itu tarikh yang ada dan notis telah dikeluarkan oleh Speaker Dewan Rakyat pada 7 September, tarikh dinyatakan sebagai tarikh diadakan undi percaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara dalam talian sempena Sesi Turun Padang Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama CyberSecurity Malaysia, hari ini.

Bagaimanapun tambahnya, pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam politik.

“Semua perkara ada banyak kemungkinan dalam politik ada pelbagai kemungkinan, namun secara rasmi tarikh yang ada pada 7 September,” katanya.

Tambah Saifuddin, usul terbabit berkemungkinan akan diusulkan oleh Timbalan Perdana Menteri atau Menteri yang akan dipertanggungjawabkan bagi pihak kerajaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here