Nurul Huda Abhar
SUSULAN pendedahan judi haram serta penjualan rokok seludup di Bandar Baru Sungai Buloh (BBSB) di Selangor yang turut memberi kesan kepada peniaga di kawasan itu, kini aktiviti gerai kembali meriah.
Peniaga gerai di BBSB kini menghela nafas lega selepas dibenarkan beroperasi semula dengan lesen sementara dikeluarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Tinjauan Malaysia Post mendapati tapak gerai yang dulunya lengang, kini kembali rancak dengan gerai menjual pelbagai jenis makanan.
Rata-rata peniaga menganggap insiden pendedahan oleh individu dikenali sebagai “Asri Janggut” mempunyai pro dan kontra dalam urusan perniagaan mereka.
Peniaga, Salmah Abdul Karim, 68, berkata dia bersyukur kerana dapat meneruskan perniagaan seperti biasa.

Beliau yang berniaga di sekitar Sungai Buloh sejak 1985, mengakui dengan adanya lesen sementara itu dia lagi tidak berasa risau jika pihak MBSA melakukan pemeriksaan.
“Di tapak ini saya sudah berniaga selama tiga tahun. Sebelum ini saya pernah memohon lesen tetapi tidak diluluskan.
“Setelah dapat notis dari MBSA, saya memang kosongkan tapak ini. Saya takut sebab memang saya buat kesalahan. Saya faham dengan tugas MBSA, jadi kami bertolak ansur,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Ahmad Helmi Yusop, 48, berkata kawasan perniagaan mereka sebenarnya dalam proses untuk diwartakan sebagai tapak perniagaan rasmi milik kerajaan.
Beliau yang meneruskan perniagaan keluarga selama 30 tahun, memberitahu proses berkenaan mengalami kelewatan atas sebab masalah reka bentuk bangunan yang dicadangkan.
Tambahnya, reka bentuk yang dicadangkan sama seperti bangunan kedai berhampiran sedia ada namun agak sempit.
“Sudah dua tahun cadangan itu dibuat. Pihak penjaja dan penduduk tidak bersetuju dengan reka bentuk sebab sempit dan tak boleh selesaikan masalah.
“Jadi rombakan pelan dibuat, peruntukkan sudah keluar. Tapi selepas video Asri Janggut muncul semua pihak terkejut,” katanya.
Bagi Ramlah Yakub, 55, yang berniaga pagi dan petang di tapak itu, turut terkesan apabila diminta mengosongkan kawasan tersebut, beberapa minggu lalu.

Kata Ramlah, gerainya terpaksa ditutup hampir seminggu selepas mendapat notis dari MBSA namun boleh beroperasi semula setelah diberi lesen sementara.
Tambahnya, semua gerai di tapak tersebut bakal dipindahkan ke kawasan sementara bagi membolehkan pembinaan bangunan kekal dijalankan.
“Jadi sementara bangunan itu dibuat, kami semua akan dipindahkan ke kawasan Luncai Mas. Saya dengar pembinaan itu akan berjalan lebih kurang enam bulan,” katanya.
Rosli Muhamad Karim, 42, pula berkata setelah tular video pendedahan Asri Janggut, semua pihak bekerjasama dan membuka mata tentang apa yang berlaku di sekeliling.
Beliau yang membuka gerai masakan panas agak risau jika tidak boleh berniaga dalam tempoh lama kerana itu adalah sumber utama rezekinya.

Kata Rosli, hikmah dari apa yang berlaku dia kini sudah memiliki lesen perniagaan sah dan dalam masa sama kegiatan premis judi haram dapat ditumpaskan.
“Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Jaras sudah beritahu persatuan peniaga perlu pantau perniagaan dan tidak boleh benarkan warga asing berniaga.
“Sebelum ini peraturan memang ada tetapi tidak dilaksanakan sepenuhnya. Tapi sekarang kami peniaga dan penduduk BBSB sudah sepakat untuk tetapkan peraturan itu,” ujarnya.
Pada 14 Ogos lalu, Malaysia Post melaporkan peniaga kecil di BBSB kesal dengan tindakan MBSA mengeluarkan notis 24 jam bagi mereka mengosongkan tapak niaga.
Tindakan penguatkusaan tegas oleh MBSA diambil susulan pendedahan Asri Janggut atau nama sebenarnya Mohd Asri Hamid berhubung aktiviti judi haram dan penjualan rokok seludup oleh peniaga warga asing di kawasan tersebut. – Malaysiapost

