Bilik isolasi Hospital Slim River terbakar bukan berpunca tangki oksigen

0
2

JABATAN Kesihatan Perak memaklumkan siasatan awal berhubung kebakaran sebuah bilik isolasi, Wad 10 Hospital Slim River di Tanjung Malim malam kelmarin bukan berpunca daripada tangki oksigen.

Pengarah Kesihatan Perak Dr Ding Lay Ming, berkata siasatan lanjut mengenai punca sebenar kejadian kira-kira jam 7.20 malam itu sedang dijalankan pihak hospital serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Kebakaran melibatkan seorang pesakit lelaki yang ditempatkan di dalam bilik tersebut.

“Jururawat dan pembantu perawatan kesihatan yang bertugas telah segera mengalihkan pesakit ke tempat yang selamat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kebakaran itu telah mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan iaitu melecur sembilan peratus di bahagian tangan dan telah diberi rawatan lanjut.

Bagaimanapun, katanya pesakit berusia lingkungan 40-an itu kini berada dalam keadaan stabil.

Semalam, media melaporkan, seorang pesakit lelaki melecur di tangan kiri apabila pengatur tekanan oksigen (oxygen pressure regulator 02) terbakar di bilik isolasi, Hospital Slim River. Selasa lalu.

Difahamkan ketika kejadian, tiada pesakit lain yang menerima rawatan di bilik di tingkat lima hospital berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Mohd Fazrul Azuan Norman berkata, sepasukan 10 anggota bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.42 petang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here