Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff
MEDIA melaporkan blok kerajaan sekarang mempunyai 100 kerusi dan blok pembangkang 120.
Untuk mengesahkan bilangan sokongan ini, Parlimen adalah tempat terbaiknya, biarpun ia juga boleh dilakukan di luar dewan sepertimana kes politik Perak pada tahun 2009.
Apa pilihan PM sekiranya sudah hilang majoriti? Mengikut Perkara 43(4) perlembagaan, PM hendaklah meletakkan jawatan atau menasihati Agong membubarkan dewan.
Bubar dewan, belum tentu Agong setuju. Bubar dewan ini adalah kuasa budi bicara baginda (Perkara 40(2)(b). SPR pula belum tentu bersedia. Covid masih teruk, jadi macam mana mahu mengundi?
Jika PM letak jawatan pula, pilihan raya mesti dilakukan dalam tempoh 60 hari (Perkara 55(4)). Bersediakah kita untuk mengundi dengan situasi Covid begini? Tidak ingatkah kita tentang kesan PRN Sabah?
Atau kita lantik PM interim? PM interim tidak ada dalam perlembagaan tetapi duluannya telah ada semasa peletakan jawatan Tun Mahathir pada Februari 2020.
Persoalannya, bolehkah PM interim stabilkan politik negara? Sukar selagi pemimpin tidak boleh bertolak ansur. Sukar selagi siapa PM masih menjadi pertikaian.
Jadi, bagaimana? Saya mahukan pilihan raya. Saya mahukan kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi yang betul, bukan melalui lompat parti, apa lagi ‘scheme of things.’
Cumanya, mengadakan PRU dalam pandemik ini ada risiko. Berisiko bukan bererti PRU tidak boleh diadakan. Boleh diadakan, tetapi dengan mengambil sembilan tindakan berikut.
Pertama, percepatkan vaksin supaya rakyat boleh mengundi dengan selamat. Pada 18 Julai, seminggu selepas Umno mengumumkan menarik diri, kerajaan sudah mempercepatkan pelan vaksinasi. Harapnya akhir Oktober kita telah mencapai imuniti kelompok.
Kedua, laksanakan SOP ketat seperti penjarakan sosial dan pakai pelitup muka.
Ketiga, panjangkan tempoh mengundi kepada dua atau tiga hari. Keempat, larang kempen rumah ke rumah, kecuali di kawasan pedalaman.
Kelima, SOP ketat untuk ceramah perdana. Keenam, kempen diadakan melalui tv atau media sosial sahaja.
Ketujuh, bagi airtime yang adil kepada semua parti yang bertanding untuk memperkenalkan manifesto masing-masing.
Kelapan, sesuaikan proses mengundi dengan normal baharu, iaitu benarkan undi pos dan undi online biometrik bagi mengurangkan pengundi beratur.
Kesembilan, dan yang paling saya impikan ialah adakan debat di tv bagi ketua setiap parti bertanding seperti debat pilihan raya Britain, atau debat presiden Amerika dan Indonesia.
Bersediakah kita? Sudah sampai masanya kita menilai pemimpin terbaik untuk menjadi PM kita. Sudah sampainya masanya juga kita membuat pembaharuan dalam sistem elektoral kita.
“My passion for ideas is not matched with a passion for partisan and electoral politics — Kack Kemp.”
Penulis merupakan penganalisis politik serta pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan ia tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

