“Saya tak maki MB Kedah pun” – Shahanim

0
2

KETUA Umno Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusuff dipanggil memberi keterangan kepada polis hari ini dipercayai membabitkan isu membuat komen jelik terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Perkara itu dimaklumkan beliau di laman Facebooknya dan turut menegaskan tidak membuat sebarang komen menghina atau memaki terhadap Menteri Besar berkenaan.

“Saya tak komen jelik. Saya tak komen hina. Saya tak maki MB Kedah pun.

“Saya hanya up status jumlah kematian di Kuala Muda. Orang ramai yang komen macam-macam.

“Tapi, petang ini saya dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan diambil keterangan oleh polis dari IPD Alor Setar,” katanya.

Beliau mempersoalkan adakah salah memuat naik status di Facebook mengenai jumlah kematian akibat Covid-19.

“Yang komen-komen di FB status saya kata bingai sahaja dah kena tidur di lokap satu malam…Allah…Salahkah up status jumlah kematian.

“Bersuara demi rakyat…Allah tahu niat kita. Akan terus bersuara. Mana demokrasi..Kepada Allah aku berserah,” katanya yang turut menggunakan tanda pagar #koyak.

Sebelum ini, media melaporkan empat individu ditahan polis kerana didakwa menghina serta mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap Muhammad Sanusi menerusi Facebook.

Ia dipercayai susulan kenyataan Muhammad Sanusi pada 6 Ogos lalu yang menyebut ‘kontena jenazah mencukupi, siapa nak masuk, bagi nama’. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here