3,396 ibu hamil dijangkiti Covid-19

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan ibu hamil yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi mendapat jangkitan teruk, selain individu yang mempunyai komorbid dan warga emas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ibu hamil lebih berisiko untuk mendapat jangkitan yang teruk dan memerlukan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) serta bantuan pernafasan berbanding wanita yang tidak hamil.

Beliau berkata, jangkitan Covid-19 tahap yang lebih teruk kerap berlaku pada trimester kedua dan ketiga.

“Sejak Mac 2020 sehingga Jun lalu, sejumlah 3,396 kes Covid-19 dilaporkan dalam kalangan ibu hamil di Malaysia dan dianggarkan hampir satu peratus dijangkiti Covid-19.

“Jumlah kes yang dilaporkan semakin meningkat bermula Oktober 2020, dengan purata 200 kes jangkitan sebulan, di mana lonjakan kes dapat dilihat pada Mei 2021 (sebanyak 850 kes) dan Jun 2021 (sebanyak 899 kes).

“Trend peningkatan kes dalam kalangan ibu hamil ini adalah sejajar dengan peningkatan jumlah kes Covid-19 di Malaysia secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, peratus ibu hamil yang dijangkiti Covid-19 yang menerima penjagaan rawatan rapi telah meningkat dari tiga peratus pada 10 Julai lalu kepada 5.3 peratus pada 7 Ogos lalu.

Dr Noor Hisham berkata, analisa terperinci menunjukkan nisbah kes ibu hamil dijangkiti Covid-19 yang menerima rawatan rapi berbanding jumlah pesakit Covid-19 kritikal ialah satu dalam 20 kes.

“Nisbah ini jauh lebih tinggi berbanding nisbah jangkitan ibu hamil dalam populasi umum iaitu satu dalam 220 kes.

“Sehingga 9 Ogos lalu, sebanyak 70 kes kematian ibu hamil disebabkan oleh komplikasi jangkitan Covid-19 telah dilaporkan berbanding tiada kes pada tahun lalu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here