MASIH terdapat sektor perkilangan dan premis perniagaan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Susulan itu hasil pemeriksaan dijalankan Pasukan Task Force Operasi Pematuhan di seluruh negara semalam, sebanyak 33 premis diarahkan tutup serta-merta.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata 33 premis berkenaan dikesan hasil daripada 79,061 pemeriksaan dan snap check Covid-19 yang dijalankan semalam.
Beliau berkata selain itu, seramai 173 individu dikompaun selepas didapati melanggar SOP dan daripada jumlah itu 17 individu direman.
“Dalam Op Benteng pula, seramai dua pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap semalam, manakala lima kenderaan darat dirampas.
“Sebanyak tiga kapal atau bot dan 20 kenderaan darat turut dikesan melalui aktiviti penglihatan. Manakala, seorang PATI dan sebuah kapal diusir melalui aktiviti pengusiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, jumlah individu yang tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara semalam pula adalah seramai 718 orang menjadikan jumlah kumulatif yang telah pulang ke tanah air sejak 24 Julai 2020 adalah seramai 267,398 orang.
“Daripada jumlah itu yang masih dikuarantin di Pusat Kuarantin Wajib adalah seramai 10,329 orang dengan keseluruhan yang dibawa ke hospital adalah 3,917 orang.
“Setakat ini seramai 253,15 individu yang pulang ke tanah air itu sudah dibenarkan pulang ke rumah selepas menjalani kuarantin wajib,” katanya. – Malaysiapost

