PENGARAH Komunikasi parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd Samad menyarankan Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali menyokong Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan baharu.
Beliau berkata ia sekali gus membolehkan sebuah kerajaan perpaduan atau campuran diwujudkan.
Menurutnya, Muhyiddin tiada jalan lain lagi setelah kehilangan majoriti sokongan Ahli Parlimen susulan keputusan Umno menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Shah Alam itu juga berpendapat Perdana Menteri tidak perlu menunggu sehingga sidang Parlimen, September ini untuk menentukan keabsahan sokongan majoriti, sebaliknya perlu segera menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan meletak jawatan.
“Seruan kepada Muhyiddin setelah beliau menyebabkan seluruh negara porak-peranda selepas ‘Langkah Sheraton’, beliau perlu meletakkan PH menjadi kerajaan semula dengan kembali menyokong kami.
“Muhyiddin kena letak jawatan sebagaimana (bekas Perdana Menteri dua kali) Tun Dr Mahathir Mohamad tahun lalu, serah kembali kepada Yang di-Pertuan Agong menentukan siapa yang mempunyai sokongan majoriti untuk jadi Perdana Menteri.
“Dengan Muhyiddin kembali ke pangkal jalan, PH sudah cukup majoriti untuk bentuk kerajaan dan kami akan usahakan pula pembentukan kerajaan perpaduan dengan memujuk Umno menyertainya,” katanya dipetik Sinar Harian, hari ini.
Khalid berkata demikian mengulas desas-desus Muhyiddin dikatakan bakal menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat bagi memohon perkenan pembubaran Parlimen.
Dakwaan itu tercetus susulan tekanan berterusan daripada Umno dan pembangkang yang mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membuktikan pendirian Ahli Parlimen masing-masing menarik sokongan terhadap Muhyiddin. – Malaysiapost

