PERBICARAAN kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sepatutnya bermula petang ini, ditangguhkan kepada pagi esok.
Kes berprofil tinggi melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu ditangguhkan kerana beliau terpaksa menghadiri prosiding Mahkamah Rayuan berkaitan tuntutan tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah RM1.69 bilion.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan menetapkan esok dan dan 10 hari berikutnya iaitu pada 6 hingga 9 September, 4 hingga 7 Oktober dan 20 serta 21 Oktober ini bagi perbicaraan, lapor Malaysiagazette.
Seramai 11 lagi saksi pendakwaan dijangka akan memberi keterangan bermula esok termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.
Sebelum ini, tujuh saksi telah dipanggil ketika perbicaraan termasuk bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB yang dimuktamadkan Ketua Audit Negara sebelum laporan itu ‘sekali lagi dimuktamadkan’ dan dibentang di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016 mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Sabit kesalahan membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. -Malaysiapost

