MP Umno sokong PN diberi surat peringatan, bukan ugutan – Ahmad Maslan

0
2
ahmad maslan

AHLI Parlimen Umno yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan dipecat walaupun parti memutuskan menarik sokongan kepada PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan turut menafikan dakwaan parti itu melakukan ugutan kepada Ahli Parlimen berkenaan, sebaliknya surat yang diedar sebelum ini hanya peringatan dan meminta penjelasan.

“Ada kata surat itu ugutan? Itu bukan ugutan, ia ingatan mengenai tata etika ahli untuk ikut keputusan parti.

“Umno tidak berhasrat memecat. Kita berhasrat untuk mengingatkan (mereka) kepada Perlembagaan parti.

“Itu hasrat surat saya yang sudah diberikan kepada mereka, kawan-kawan saya juga,” katanya dalam satu program temubual disiarkan di Facebook Umno Online, malam tadi.

Sebelum ini tular surat bertarikh 5 Ogos lalu dikeluarkan pejabat Setiausaha Agung Umno membangkitkan isu derhaka oleh kerajaan PN berhubung Ordinan Darurat dan tindakan yang dianggap membelakangi titah Yang di-Pertuan Agong.

Menyentuh isu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), beliau berkata Umno sudah menyerahkan segala dokumen diperlukan termasuk minit mesyuarat pada Februari lalu, yang mana Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bersetuju menangguhkan pemilihan.

“Dokumen 19 Februari itu sudah buat keputusan (penangguhan pemilihan) di Janda Baik (Pahang), dua orang (MKT) tidak hadir daripada 55 ahli MKT,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, keputusan penangguhan pemilihan yang dibuat MKT pada Jun dilakukan secara teratur, biarpun tidak dalam mesyuarat fizikal.

“Saya buat secara teratur menggunakan aplikasi WhatsApp. Apa yang kita katakan sebagai dokumen digital yang kita failkan segala dokumen itu, bukan dibentang dalam telefon tapi difailkan.

“Dicetak dan ada kaedah pengiraan tepat dan dipersetujui juga ahli MKT kaedah begitu.

“Dulu kita mana ada sidang maya, tak pernah terfikir. Jadi dulu resolusi mengguna kertas, sekarang ini menggunakan digital,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here