PAS mesti bersiap siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam suasana norma baharu, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurutnya, suasana PRU15 pasti berbeza dengan PRU sebelum ini kerana tiada lagi aktiviti berkempen dibenarkan sekiranya pandemik Covid-19 masih lagi menular.
Malah Tuan Ibrahim menegaskan, poster-poster kempen pilihan raya juga mungkin tidak akan kelihatan pada PRU15.
“Jadi kita kena bersiap sedia dengan suasana baharu. Memanglah pada peringkat awal susah laksanakan norma baharu ni, namun lama-lama insya-Allah akan OK.
“Pelaksanaan norma baharu dirasai dalam kehidupan harian sekarang, malah turut melibatkan ceramah, mesyuarat serta perjalanan PRU15,” katanya dipetik Harakahdaily, hari ini.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, sidang Dewan Rakyat yang dijangka diadakan September ini akan menentukan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sama ada dapat mengekalkan kuasanya atau sebaliknya.
“Situasi politik sehari dua ini nampak tidak stabil khususnya setelah Umno meminta Ahli Parlimennya menarik diri daripada kerajaan PN,” katanya.
Pada 2 Ogos lalu, Umno secara rasmi menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Susulan itu, Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong dengan memaklumkan beliau masih memiliki sokongan majoriti dan akan menentukan keabsahannya pada sidang Parlimen September ini.
Persidangan itu akan bermula dengan titah perasmian Yang di-Pertuan Agong, diikuti usul percaya terhadap Perdana Menteri. – Malaysiapost
Kredit Foto: Harakah Daily

