Shuib fobia oksigen abang ipar menurun

0
2
shuib sepahtu

SELEPAS kematian isteri kerana Covid-19, Shuib Sepahtu cukup risau dan fobia apabila mendapat tahu kadar oksigen abang iparnya, Ahmad Firdaos Raissuddin tidak berada pada tahap yang sepatutnya.

Shuib berkata, tahap oksigen abang iparnya itu semakin menurun namun masih dalam keadaan stabil.

“Sudah lapan hari abang ipar saya dikuarantin. Oksigen juga semakin menurun namun keadaan dia masih lagi stabil di Hospital Serdang,” katanya selepas majlis tahlil dah bacaan doa selamat malam tadi secara maya.

Shuib juga mendedahkan, dia menasihatkan abang iparnya supaya tidak menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.

“Apabila abang ipar saya menjalani pemeriksaan tahap kandungan oksigen antara 94 dan 95 peratus.

“Saya cakap, jangan tunggu lama-lama, pergi segera dapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu Berita Harian melaporkan Ahmad Firdous yang kini dirawat di Hospital Serdang, akibat positif Covid-19, dilaporkan stabil.

Pegawai Perhubungan Awam, Syarikat Indigital Music, Elyias Omar, berkata, paras oksigen anak sulung kepada penyanyi era 1980-an, Raissuddin Hamzah itu stabil dan dirawat di wad biasa.

“Ketika doktor datang ke rumahnya, semalam, bacaan oksigen Ahmad Firdous turun 93 peratus.

“Namun, disebabkan Shuib Sepahtu masih trauma dengan apa yang berlaku ke atas Allahyarham Siti Sarah, dia meminta Ahmad Firdous tidak berlengah dan segera mendapatkan rawatan di hospital.

“Alhamdulillah, awal pagi tadi, paras oksigen Ahmad Firdous mencecah 95 peratus dan menjalani rawatan di wad biasa,” katanya.

Sementara itu Shuib yang baru sahaja kehilangan Isteri yang juga penyanyi, Siti Sarah Raissuddin, 37, Isnin lalu, menasihati orang ramai sentiasa memberi keutamaan terhadap penjagaan kesihatan diri agar nasib menimpa dirinya tidak berlaku kepada orang lain.

Paling penting, Shuib menegaskan, semua orang harus cakna akan kepentingan mendapatkan suntikan vaksin pada waktu yang cukup getir sekarang disebabkan virus pembunuh tersebut.

“Jaga kesihatan, periksa diri dan amalkan pengambilan vitamin agar sistem imunisasi badan dapat melindungi kita daripada Covid-19.

“Di rumah kena ada oksimeter. Ini benda wajib ada sekarang. Kalau ada ahli keluarga kita dijangkiti, kita tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Menurut Shuib, apa yang dia nasihatkan ini adalah kisah benar yang dialami sendiri dan bukan rekaan semata-mata.

“Jururawat yang selalu bertemu dengan saya kata, setiap hari mereka menguruskan orang yang dijangkiti Covid-19, yang nyawa mereka menjadi korban.

“Sekurang-kurangnya, apabila kita sudah disuntik vaksin, bukanlah kita betul-betul selamat, tetapi itu adalah usaha kita untuk mengekang penularan virus ini,” ujarnya.

Siti Sarah, 37, menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi Isnin lalu selepas bertarung nyawa akibat komplikasi Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here