DATUK Seri Najib Razak menyifatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak tiga bulan lalu, hanya sia-sia susulan negara berterusan menghadapi peningkatan kes Covid-19.
Bekas Perdana Menteri itu berkata hari ini genap tiga bulan, iaitu 92 hari sejak Perdana Menteri mengumumkan PKP 3.0 “separuh masak” di seluruh negara.
“Sebelum ini, tempoh PKP 2.0 separuh masak pada awal tahun berlangsung selama 51 hari dan PKP 1.0 yang penuh masak tahun lepas cuma 45 hari.
“Dan 143 hari daripada 222 hari, sejak permulaan tahun ini, kita lockdown bawah PKP 2.0 atau PKP 3.0 dan bakinya pula adalah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
“Justeru, Malaysia antara negara paling lama buat lockdown tahun ini tetapi juga satu-satunya negara yang makin lama lockdown, makin tinggi kes Covid,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Beliau berkata, negara lain yang melaksanakan lockdown, tapi kes dilihat menurun, namun Malaysia sebaliknya.
“Makin kita buat lockdown, makin kes naik – sehingga menjadi antara negara paling parah dalam dunia. Jadi data dan sains mana yang kerajaan Perikatan Nasional pakai?,” soalnya.
Semalam, Malaysia mencatatkan 19,991 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 dalam negara kini 1,299,767 kes. – Malaysiapost

