Tok Mat gesa hubungan Ahli MKT, Parlimen Umno diharmonikan

0
2

BARISAN kepimpinan Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan menyatakan sokongan penuh terhadap ketetapan yang telah diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang bersidang pada 3 Ogos lalu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Umno Negeri Sembilan juga menjunjung titah dan berpihak tanpa berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, ia bersesuaian dengan Fasal 3.3 Perlembagaan Umno iaitu mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berperlembagaan.

“Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan menggesa agar hubungan antara Ahli MKT dan Ahli Parlimen Umno mestilah diharmonikan demi kepentingan parti dan negara.

“Semoga Umno diberi mandat oleh rakyat untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 3 Ogos lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan MKT sepakat menarik sokongan daripada Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa serta-merta.

Susulan itu, dua Ahli Parlimen Umno melepaskan jawatan menteri iaitu Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here