11 lokaliti di Sabah dikenakan PKPD

0
2
Suasana hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Permai, Sungai Besi ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

KERAJAAN melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Khamis ini di 11 lokaliti di Sabah dan satu lokaliti di Temerloh, Pahang selepas dikesan berlaku penularan wabak Covid-19 di kawasan berkenaan.

Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19 di kesemua 12 lokaliti terbabit.

Menurutnya, 11 kawasan di Sabah yang dikenakan PKPD adalah membabitkan tiga lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Kuarters Kilang J & L, Jalan Kokol; Kampung Gudon, Manggatal dan Kampung Lobou.

“Lokaliti lain adalah di Kampung Menunggui, Kota Belud; Kampung Tengah, Kinarut, Papar; Kampung Petagas, Putatan; Kampung Pogunon, Penampang dan Kampung Timbua-Kembiroi-Lobou Baru, Ranau.

“Selain itu, Kampung Batu 1 Sipitang; Kampung Bukit Kukusan, Tawau dan Kampung Batu-Batu, Tenom,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, satu lagi kawasan yang dijalankan PKPD adalah membabitkan FELDA Jengka 25, Temerloh yang kesemuanya bermula 12 Ogos hingga 25 Ogos ini.

Sementara itu, menurutnya, lapan lokaliti yang sepatutnya tamat PKPD esok dilanjutkan hingga ke 25 Ogos ini susulan penularan wabak covid-19 masih berlaku di kawasan terbabit.

“Kawasan dilanjutkan PKPD itu adalah membabitkan enam lokaliti di Kota Kinabalu, Sabah iaitu Bandar Sierra; Kampung Kalasanan; Kampung Pulau Penampang; Bandaran Segama; Taman Bukit Setia dan Taman Putera Jaya.

“Dua lagi kawasan dilanjutkan PKPD adalah FELDA Jengka 7, Maran, Pahang dan Ladang Kerilla, Tanah Merah, Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, penamatan PKPD pula dilakukan di 23 lokaliti membabitkan 21 kawasan di Sabah dan dua lagi di Johor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here