SEBANYAK 60 premis membabitkan sektor perkilangan dan premis perniagaan diarahkan tutup serta-merta semalam, selepas didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kegagalan pematuhan SOP itu dikesan oleh Pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang melaksanakan pemeriksaan dan snap check Covid-19.
Beliau berkata, pemeriksaan itu dijalankan dengan kekuatan 18,432 anggota yang melaksanakan 78,506 pemeriksaan bagi memantau serta menguatkuasakan pematuhan SOP di seluruh negara.
“Pecahan pemeriksaan adalah membabitkan kilang (1,971), premis perniagaan (16,151), tapak pembinaan (1,020) dan asrama penempatan pekerja (312),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, jumlah individu yang dikompaun kerana ingkar SOP pula adalah seramai 180 individu dan daripada jumlah itu 21 individu direman.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, melalui Op Benteng pula seramai 12 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan semalam.
“Dalam operasi tersebut, sebanyak dua bot atau kapal dan dua kenderaan darat turut dikesan melalui aktiviti penglihatan,” katanya. – Malaysiapost

