Anak dedah keganasan bapa di media sosial

0
2

SEORANG lelaki ditahan selepas dipercayai memukul isteri dan anaknya di kediaman mereka di Taman Melati Utama, Kuala Lumpur, semalam.

Perbuatan suspek berusia 44 tahun itu terbongkar apabila, anaknya yang dipercayai turut dipukul ketika menghalang ibunya ditendang dan ditampar membuat satu hantaran di aplikasi Twitter bagi meminta bantuan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata hantaran di media sosial dibuat remaja lelaki berusia 14 tahun itu kemudian tular serta bunyi bising pergaduhan suami isteri itu menyebabkan jiran datang kediaman mereka untuk meredakan keadaan.

Menurutnya, pihak polis juga ke tempat kejadian dan membawa isteri serta anaknya ke Balai Polis Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil siasatan polis mendapati pergaduhan berlaku semalam kira-kira jam 11.30 pagi apabila suspek memarahi serta menuduh isterinya mengambil wangnya, namun mangsa hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

“Bagaimanapun suspek bertambah berang dan memukul mangsa serta anak mereka yang cuba meleraikan pergaduhan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, selepas pergelutan selesai, anak mangsa telah memuat naik hantaran di Twitter berkenaan pergaduhan itu yang menjadi tular.

“Hal itu disedari suspek pada jam 1.17 tengah hari dan menyebabkan suspek sekali lagi menyerang anaknya.

“Mangsa telah membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri serta ahli keluarga yang lain dan suspek ditahan serta permohonan reman dibuat hari ini,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian boleh menyalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju atau balai polis berhampiran.

Terdahulu tular di Twitter hantaran remaja terbabit yang memberitahu dia dan ibunya dipukul oleh bapanya yang seorang pemarah serta kaki pukul.

Remaja terbabit mendakwa ditendang di tulang rusuk dan meminta bantuan orang ramai supaya melaporkan kepada polis kes keganasan rumah tangga itu bagi membolehkan bapanya ditahan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here