Himpunan Dataran Merdeka: KM Pulau Pinang, Rayer beri keterangan

0
2

KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hari ini memberi keterangan kepada polis berhubung perarakan Ahli Parlimen Pembangkang di Dataran Merdeka, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Tanjung itu berkata, sesi tersebut berlangsung selama 45 minit iaitu bermula jam 10 pagi tadi bertempat di Pejabat Ketua Menteri di Komtar.

Kon Yeow berkata, beliau memberi kenyataan itu kepada wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Dearah (IPD) Timur Laut berhubung perarakan terbabit.

“Saya telah selesai memberikan kenyataan kepada wakil PDRM dari IPD Timur Laut pada pagi ini berhubung siasatan terhadap perhimpunan Ahli-Ahli Parlimen yang berlangsung di ibu negara pada 2 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementera itu, memetik laporan Utusan Malaysia, selain Kon Yeow, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer turut memberi keterangan berhubung isu sama di IPD Timur Laut, Georgetown, pagi tadi.

Rayer tiba di IPD Timur Laut kira-kira pukul 9.45 pagi dan selesai memberikan keterangan dua jam kemudian.

Dua Ahli Parlimen itu diambil keterangan bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan danPengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Difahamkan, selain Rayer, pemimpin DAP yang lain seperti Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng akan memberi keterangan berhubung isu sama kepada pihak polis esok.

Pada 2 Ogos lalu, Rayer dan Kon Yeow merupakan antara Ahli Parlimen yang menyertai perarakan pembangkang di Dataran Merdeka bagi menyuarakan bantahan susulan penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat.

Perarakan itu turut disertai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.

Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen pembangkang hadir ke IPD Dang Wangi bagi memberikan keterangan berhubung isu sama. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here