Pejuang, Warisan hantar surat kepada Agong tolak Muhyiddin

0
1

PEJUANG dan Warisan mengesahkan bahawa kedua-dua parti tersebut telah menghantar surat akuan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menolak Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin memaklumkan surat akuan menyatakan bahawa semua Ahli Parlimen parti itu menolak Muhyiddin sudah dihantar kepada Seri Paduka Baginda pada petang semalam.

“Pejuang pun hantar (surat akuan) juga tapi hantar berasingan. Ia adalah surat akuan yang mengatakan kami tidak sokong Muhyiddin,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Wira Warisan yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman turut mengesahkan mengenai surat tersebut.

“Warisan juga mengesahkan perkara ini, sudah ditandatangani (surat) dan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Semalam, media melaporkan mengenai tindakan pembangkang yang difahamkan telah mengutuskan surat akuan menolak Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut sumber dalaman blok pembangkang, surat akuan tersebut merangkumi kesemua 105 ahli Parlimen daripada Pejuang, DAP, PKR, Warisan, Parti Sarawak Bersatu, MUDA, Amanah dan Dr Maszlee Malik (Bebas).

Sementara itu, Naib Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Salahuddin Ayub yang memaklumkan bahawa parti komponen gabungan tersebut masing-masing telah menghantar surat akuan berkenaan kepada Agong.

Terdahulu, Umno mengesahkan mengutuskan dua warkah berkaitan penarikan semula sokongan terhadap Perdana Menteri kepada Al-Sultan Abdullah.

Memetik laporan Umno Online, warkah-warkah berkenaan diutuskan pada 30 Julai dan 4 Ogos lalu oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here