TIADA kelonggaran dibenarkan kepada golongan berusia 18 tahun ke atas yang sudah menerima vaksinasi lengkap untuk merentas negeri berjumpa ibu bapa, buat masa ini.
Perkara itu dijelaskan Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang berkata, ini kerana ia membabitkan jumlah ramai yang dikhuatiri boleh menyumbang peningkatan kes Covid-19.
Menurutnya, perkara itu diputuskan selepas penilaian risiko jangkitan semasa pada peringkat awal pemberian kemudahan yang diumumkan, semalam.
Hishammuddin berkata, setakat ini, hanya ibu bapa yang lengkap divaksinasi, dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak berusia 18 tahun ke bawah, berkuat kuasa esok.
“Kita temukan dulu ibu bapa dengan anak. Keputusan itu bukan bersandarkan ekonomi dan kesihatan, sebaliknya pada aspek mental dan kesejahteraan individu.
“Ia juga membabitkan pertimbangan isu kekeluargaan selepas berdepan sekatan pergerakan begitu lama. Sabar dahulu yang bujang (belum dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa ibu bapa),” katanya pada sidang media secara maya, hari ini. – Malaysiapost

