Ibu tidak akan kembali lagi, Shuib cerita detik pilu

0
2

DETIK memberitahu kepada anak-anak bahawa ibu kesayangan telah tiada merupakan detik memilukan hati seorang bapa.

Itulah yang berlaku kepada Shuib Sepahtu yang mengakui itulah ujian paling besar yang terpaksa dia tempuhi setelah isterinya, Siti Sarah Raissuddin meninggal dunia awal pagi tadi.

“Beritahu hal sebenar kepada anak-anak, ujian paling besar kepada saya.

“Saya beritahu pada anak-anak bahawa ibu mereka tidak akan kembali lagi kerana Allah lebih menyayanginya”.

Itulah ungkapan yang diberitahu Shuib ketika menceritakan detik-detik memberitahu situasi sebenar iaitu kematian ibu kepada tiga anaknya, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, hari ini.

Paling pilu, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad mendedahkan situasi untuk memaklumkan perkara sebenar kepada tiga anaknya merupakan detik paling sukar yang perlu dilaluinya dalam hidupnya.

Bagaimanapun, Shuib bersyukur kerana Allah telah mempermudahkan urusan tersebut walaupun ada antara mereka masih kurang faham mengenai situasi sebenar.

“Apabila saya balik ke rumah. Saya minta diri dengan anak-anak nak mandi. Hari ini, saya mandi lama sangat sebab memikirkan bagaimana caranya untuk saya beritahu perkara sebenar kepada mereka yang belum tahu ibunya sudah tiada lagi.

“Kemudian, ibu mentua minta saya terus terang dengan anak-anak kerana mereka sudah menonton berita mengenai kematian Siti Sarah dalam YouTube.

“Ini dugaan paling berat saya kena buat. Saya cekalkan hati, panggil anak-anak dan terangkan dalam keadaan TV terbuka yang tertulis Siti Sarah sudah tiada,” katanya dalam sidang video secara langsung di Instagram, hari ini.

Saat meruntunkan hati, Shuib memberitahu anak ketiganya Matin, paling terkesan dan sukar menerima kehilangan insan tempat dia bermanja dan berkasih sayang.

“Saya cakap pada mereka, ibu tak akan balik lagi. Matin menangis teresak-esak, teruk dia menangis dan saya cakap kita berdoa, tetapi ibu milik Allah dan tidak akan dikembalikan kerana Tuhan sangat sayangkan dia,” ujarnya.

Meskipun sedih kehilangan isteri tercinta, Shuib tetap redha dengan ketentuan Ilahi dan berjanji akan merealisasikan impian arwah untuk melihat anak-anaknya menjadi insan yang mulia di sisi Tuhan.

“Saya juga berpesan kepada anak-anak agar menjadi insan yang soleh dan solehah kerana itu yang diinginkan oleh ibu mereka.

“Itulah bekalan seorang ibu iaitu amal dan soleh anak-anak mereka,” katanya.

Siti Sarah, 37, telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi tadi selepas bertarung nyawa akibat jangkitan Covid-19.

Terdahulu, Siti Sarah yang mengandung lapan bulan terpaksa melahirkan anak keempat menerusi pembedahan dalam keadaan tidak sedar pada Jumaat lalu.

Anak bongsu yang diberi nama Ayash Affan kini sedang dirawat di hospital. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here