Tumpahan minyak: Sebuah kereta terbakar, 4 kenderaan terbabas

0
2

SEBUAH kereta terbakar manakala empat kenderaan terbabas akibat tumpahan minyak diesel di atas jalan di laluan Felda Mempaga ke Kampung Chinta Manis, Bentong, Pahang, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira 5.30 pagi itu, menyebabkan seorang pemandu warganegara tempatan berusia 44 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan siku kanan.

Timbalan Ketua polis daerah Bentong, Deputi Superintenden Mohd Shahril Ab Rahman berkata, kemalangan melibatkan sebuah van dari Jabatan Penjara Malaysia dan empat kereta.

“Hasil siasatan mendapati, sebuah kereta dari arah Felda Mempaga menuju ke Temerloh, apabila sampai di tempat kejadian di KM 15 jalan Felda Mempaga- Chinta Manis didapati ada tumpahan minyak diesel di atas permukaan jalan raya serta ada percikan api dan terkena kereta tersebut lalu terbakar.

“Manakala empat kenderaan yang lain terbabas berpunca daripada tumpahan minyak diesel di atas jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan dari kejadian itu, seorang pemandu sahaja mengalami kecederaan di bahagian kepala dan siku sebelah kanan.

“Mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan susulan manakala pemandu dan penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Sementara, pemandu dan penumpang kereta dari kenderaan terbakar di sambar api, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) APJ 1987 dan meminta saksi melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here