Anak Siti Sarah belum tahu pemergian ibu

0
2
Wajah sugul suami Allahyarhamah Siti Sarah, Shuaib selepas jenazah ditayamumkan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

Nurul Huda Abhar

“BUAT masa ini anak-anak masih tidak tahu lagi,” kata pelakon dan pelawak Shuib Sepahtu yang kehilangan isteri yang juga penyanyi Siti Sarah Raissuddin, 37, pagi tadi selepas bertarung nyawa melawan Covid-19.

Menurut Shuib, dia memohon agar mendoakan diberi kekuatan untuk memaklumkan berita mengenai pemergian Siti Sarah kepada empat anaknya.

“Buat masa ini anak saya belum tahu lagi. Ini saya baru nak balik dan bagitahu mereka. Doakan urusan saya dipermudahkan,” katanya kepada media diluar pekarangan tanah perkuburan hari ini.

Shuib atau nama penuh Shahmira Muhamad juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menitipkan doa, dan memberi semangat kepada isteri dan keluarganya.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada mereka yang adakan masa, adakan usaha untuk isteri saya sepanjang berlakunya kejadian ini.

“Saya ucapkan terima kasih atas solat hajat, bacaan yassin, sedekah atas nama isteri saya. Hanya Allah yang dapat membalas budi itu. Saya balikkan doa-doa untuk kalian semua.

“Saya doakan sesiapa sahaja yang sedang bertarung melawan Covid-19 saya doakan dipermudahkan,” ujarnya.

Dalam keadaan sebak, Shuib memaklumkan anak bongsunya, Ayash Affan yang dilahirkan secara pembedahan pada Jumaat lalu berada dalam keadaan baik.

“Ayash ok. Terima kasih banyak doakan Ayash,” katanya.

Jenazah Allahyarham Siti Sarah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak, Selangor kira-kira jam 1.20 petang tadi.

Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di ICU Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat Covid-19, jam 5.13 awal pagi tadi.

Terdahulu, pelantun lagu ‘Semakin’ itu terpaksa ditidurkan melahirkan bayi lelaki melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat lalu.

Jumaat lalu, paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi dan menunjukkan perkembangan positif sehingga 85 peratus, kelmarin.

Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif Covid-19.

Selain Siti Sarah dan suami, Shuib serta tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.

Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here