PAS, Umno, Bersatu perlu disatukan – Hadi

0
2
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

TIGA parti teras Melayu-Islam iaitu PAS, Umno dan Bersatu perlu disatukan berteraskan hijrah Islam dengan mengambil kira masyarakat majmuk di negara ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata ia bertujuan bagi memimpin perubahan dengan penubuhan Muafakat Nasional (MN) disertakan pendekatan masyarakat majmuk dengan penubuhan Perikatan Nasional (PN) bersama prinsip yang anjal bagi melakukan perubahan positif.

“Pada masa yang sama, tidak menghapuskan rupa bangsa dan budaya masing-masing yang berkonsepkan tiada paksaan beragama dan adil kepada semua.

“Maka, hendaklah disingkirkan langkah negatif yang diambil oleh kalangan penganut Islam yang lemah serta tidak yakin kepada agama sendiri dan rupa bangsa yang menjadi ketetapan Allah SWT,” katanya.

Abdul Hadi berkata, bersama konsep Islam adil kepada semua, ia telah membawa mesej yang menyatukan rakyat dalam masyarakat majmuk di kala Islam dilaksanakan dengan sempurna.

“Inilah kejayaan yang dimulakan dengan hijrah Rasulullah SAW yang bersejarah itu. Inilah iktibar yang wajib dijadikan teladan oleh umat Islam ketika kegagalan teori dan ideologi negara di seluruh dunia pada hari ini.

“Maka, pendekatan berdasarkan acuan hijrah ini perlu diperkenalkan semula di negara kita yang bermasyarakat majmuk.

“Asas yang kukuh diletakkan dalam perlembagaan negara ketika mencapai kemerdekaan ialah Islam sebagai agama bagi persekutuan, serta mengiktiraf hak beragama bagi penganut agama lain dan konsep demokrasi,” katanya katanya menerusi artikel Minda Presiden PAS di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, pendekatan berdasarkan acuan hijrah perlu diperkenalkan semula di negara kita yang bermasyarakat majmuk.

Katanya, suatu hakikat dan realiti yang tidak boleh dinafikan, dahulu dipaksa oleh penjajah untuk mengikut strategi menggunakan rakyat tanah jajahan daripada pelbagai agama dan bangsa supaya menjadi masalah bagi kepentingan politik dan ekonomi mereka.

“Khususnya agenda pecah dan perintah (divide and rule), di mana kesannya berpanjangan sehingga kini.

“Sehinggalah negara kita tetap bermasalah, walaupun dikatakan sudah mengecapi kemerdekaan dan penjajah asing itu sudah pulang ke tanah air mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here