POLIS meminta semua ahli keluarga, rakan artis dan petugas media untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika berada di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak, hari ini.
Arahan itu dikeluarkan pihak polis menerusi satu pengumuman khas dengan meminta semua orang untuk kekal menjaga jarak dan SOP ditetapkan.
Polis juga memberi arahan untuk mengeluarkan kompaun sekiranya arahan itu gagal dipatuhi.

Jenazah Siti Sarah baharu saja tiba di tanah perkuburan berkenaan sebentar tadi dan dijangka dikebumikan dalam masa terdekat.
Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di ICU Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat Covid-19, jam 5.13 pagi ini.
Pemergian penyanyi lagu Semakin itu disahkan oleh Shuib sendiri laman Instagram (IG).
Terdahulu, ibu kepada empat cahaya mata itu berada dalam keadaan koma selepas dan bertarung nyawa akibat Covid-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.
Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat lalu.
Pada Jumaat lalu, paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi, namun menunjukkan perkembangan positif meningkat sehingga 85 peratus, kelmarin.
Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif Covid-19.
Selain Siti Sarah dan suami, Shuib serta tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.
Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari. – Malaysiapost

