SPRM jumpa 3 Ahli Parlimen DAP kes rasuah politik

0
2

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengadakan pertemuan dengan tiga Ahli Parlimen DAP bagi mendapatkan maklumat berhubung dakwaan ditawarkan rasuah.

SPRM dalam kenyataan menjelaskan, pertemuan dibuat susulan dakwaan beberapa Ahli Parlimen DAP sebelum ini yang mereka ditawarkan rasuah seperti wang dan jawatan oleh sesetengah pihak untuk mereka menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut kenyataan itu, setakat ini SPRM tidak dapat mengenal pasti identiti sebenar pemilik nombor telefon yang menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp tersebut kepada Ahli-ahli Parlimen berkenaan.

“Bagaimanapun, SPRM memberi jaminan akan terus menjalankan siasatan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini,” katanya.

Sementara itu, Polis Perak mengesahkan menerima satu laporan dibuat Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Ipoh Barat, kelmarin, berhubung dakwaan dua mesej disyaki berunsur rasuah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata menurut laporan oleh Jeremy Chuah itu, mesej terbabit diterima daripada dua nombor tidak dikenali pada Jumaat lalu.

Beliau memaklumkan, dua lagi laporan polis turut dibuat di Kedah dan Pulau Pinang berkaitan perkara sama.

“Sehubungan itu, polis sudah merujuk dan menghantar laporan polis terbabit kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran membuat laporan polis berhubung dakwaan terdapat individu tidak dikenali cuba menyogok beliau untuk menyokong PN dengan menawarkan habuan wang tunai bernilai RM30 juta serta dilantik menteri.

Kulasegaran berkata, individu berkenaan bertindak menghantar dua mesej melalui WhatsApp menerusi Setiausaha Sulitnya, Jeremy Chuah.

Semalam, PN Perak turut tidak menolak kemungkinan terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk memburukkan lagi keadaan suasana politik negara menjelang persidangan Parlimen September depan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here